CHANNEL UMB

Thursday, September 9, 2010

Rintihan Penduduk Pahang Barat

Assalamualaikum. Salam 1Malaysia.

Sedih dan kecewa. Itulah respon yang diterima dari penduduk - penduduk di kawasan Pahang Barat terutama di Bentong, Raub dan Lipis. Semuanya kerana artikel dalam Utusan Malaysia Jumaat 3 September 2010 lalu yang bertajuk MB Kesal Projek Jalan Tidak Lulus. Malah kekecewaan itu turut dikongsi bersama penduduk - penduduk di daerah berkenaan.

Mana tidaknya, hampir setiap kali tiba musim perayaan sudah pasti kehidupan mereka akan menjadi sesak. Ada yang dengan sinis menyatakan bahawa setiap kali tibanya musim perayaan penduduk sekitar seperti diberi arahan 'Curfew' dan duduk dirumah masing - masing sahaja. Mahu keluar, jalan sesak. Jadi lebih baik duduk dirumah sahaja.

Keadaan seumpama ini bukan sahaja terhad pada ketika musim perayaan, tetapi turut merebak hampir setiap minggu. Pantang ada cuti panjang, pasti jalan raya di bandar Bentong dan Raub akan sesak dengan kenderaan yang mahu pulang ke kampung halaman. Perkara ini juga sering menjadi Usul Cawangan UMNO dikawasan tersebut hampir 5 tahun lamanya. Namun tidak ada pendekatan yang diambil oleh pihak nerkenaan.

Keadaan sesak ini bukan sahaja menyusahkan penduduk untuk ke bandar membeli barang keperluan. Ia juga menyukarkan pihak keselamatan seperti Ambulan dan Bomba jika berlaku sebarang kecemasan. Keadaan ini juga mengundang pelbagai musibah lain seperti kemalangan jalan raya di dalam kawasan bandar yang mana ianya sudah banyak kali berlaku. Rungutan juga turut diterima dari peniaga - peniaga di kawasan bandar dalam menjalankan perniagaan harian mereka. Bagi mereka keadaan ini hanya menjadi penghalang kepada tugas - tugas memuat naik dan turun barang serta pelanggan untuk datang ke kedai.

Maka dengan itu, Unit Media Baru Pergerakan Pemuda UMNO Pahang mendesak agar Kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Muhamad Najib Bin Tun Abdul Razak untuk mempertimbangkan soal ini semula. Malah kepada mereka yang berkenaan juga diminta untuk turun ke padang dan melihat sendiri penderitaan yang dialami oleh penduduk setempat. Jangan sampai mereka kata Kerajaan Pusat hanya melaungkan slogan Rakyat Di Dahulukan tetapi tidak melaksanakannya sudah lah.

Tinggi harapan kami bagi pihak rakyat di Pahang Barat agar perkara ini mendapat perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya oleh YAB Perdana Menteri, Menteri Kerja Raya, Menteri Pengangkutan dan seangkatan dengannya. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment