CHANNEL UMB

Tuesday, June 26, 2012

Reformasi Yang Gagal - Bahagian 2


Umum menyedari, sejarah reformasi di Malaysia khususnya yang dipelopori oleh Anwar Ibrahim segalanya diceduk dan diciplak dari Indonesia.

Saat Indonesia dilanda permulaan kelam zaman reformasi pada bulan Mei 1998, sebulan kemudiannya yakni pada 18 Jun 1998 Anwar mula melaungkan teori reformasi dengan harapan tempias di Indonesia akan menyemai ke sanubari rakyat seterusnya membantu dirinya ke puncak kuasa.

Selepas kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri, bermula 2 September 1998 Anwar memanipulasi sepenuhnya semangat gerakan reformasi Indonesia yang akhirnya menyaksikan ibukota Kuala Lumpur hampir lumpuh dengan demonstrasi jalanan di merata tempat.

Gedung perniagaan dan premis kerajaan terpaksa di tutup, huru hara dan rusuhan bermaharalela di sekitar Kuala Lumpur. Tika itu sebahagian besar mahasiswa universiti yang terpengaruh dengan adu domba slogan anti KKN (korupsi, kronisme dan nepotisme) yang dilaungkan oleh Anwar beramai-ramai turun ke jalanan.

Manakala masyarakat Cina Malaysia telah mengambil langkah berhati-hati memandangkan sejarah hitam reformasi di Indonesia yang menyebabkan berlakunya peristiwa berdarah pembantaian kaum Cina Indonesia masih segar dalam ingatan.

Bagaimanapun setelah kalut ribut rusuhan di Kuala Lumpur seakan hampir mirip dengan apa yang berlaku di Indonesia, menyebabkan mereka secara total menolak perlakuan ganas yang diimport dari negara jiran tersebut.

Mereka sedar, jika sudah buruk permulaan sesuatu gerakan yang menyebabkan ramai nyawa tidak berdosa menjadi mangsa hingga ramai gadis dirogol dan dilapah kulitnya kerana prasangka kaum dan agama, tentu sahaja sukar sekali untuk mengambil teladannya untuk diimplementasikan dalam negara sendiri.

Malah kalut malut era reformasi Indonesia diikuti kejadian sama di Malaysia nyata hanya merosakkan suasana pemulihan ekonomi negara selain mengancam nyawa dan harta benda rakyat.

Majoriti rakyat Malaysia, baik Melayu, Cina, India dan lain-lain akhirnya sependapat perubahan ganas di negara jiran bukan jawapan terbaik apatah lagi ianya disemai oleh seorang politikus yang hanya mengutamakan kepentingan diri sehingga sanggup menggadaikan ketenteraman negara.

Justeru itu, budaya politik ciplak dan songsang yang dirintis oleh Anwar telah terbukti gagal dan tidak sesuai untuk diamalkan di negara kita yang tercinta ini. Tiada sebab untuk kita meneladaninya apatah lagi untuk dibudayakan di negara ini.

Reformasi jalanan bukan cara kita dalam membangunkan negara yang pelbagai kaum dan agama, hanya transformasi yang berhemah dan kepimpinan yang berdaya saing, jitu pemikiran dan cakna rakyat sahaja yang mampu membawa kita makmur dan maju ke depan.

Reformasi Yang Gagal - Bahagian 1


Kaji selidik rasmi yang dilakukan oleh Indo Barometer pada 25 April sehingga 4 Mei 2011 menemukan jawapan yang tentu sahaja sukar untuk diterima oleh para reformis Indonesia yang terlibat secara langsung dalam gerakan reformasi jalanan pada tahun 1998.

Mengikut kajian tersebut yang dijalankan di sejumlah 33 wilayah merumuskan Orde baru yakni polisi pemerintahan zaman bekas Presiden Suharto yang digulingkan ternyata jauh lebih baik berbanding Pasca Reformasi 1998.

Sejumlah 28.2 peratus responden dari seramai 1,200 orang yang ditemubual menyatakan pasca reformasi menyebabkan tahap kehidupan rakyat lebih buruk dan amat tidak memuaskan.

Manakala sejumlah 27.2 peratus lagi menyifatkan pasca reformasi 1998 lebihkurang sama sahaja seperti sebelumnya. Hanya 22.8 peratus sahaja bersetuju pasca reformasi adalah lebih baik berbanding Orde baru zaman Suharto.

Kenyataan hasil kajian tersebut ada benarnya kerana tiga tahun sebelumnya yakni pada tanggal 20 Mei 2008, ribuan mahasiswa dan rakyat Indonesia telah memprotes kegagalan pemerintahan pasca reformasi yang gagal membantu kehidupan rakyat.

Jika 10 tahun sebelum itu mereka berhimpun di jalanraya menuntut pengunduran Suharto sebagai Presiden, tanggal 20 Mei 2008 mereka seperti menyesali penyertaan rakan-rakan mereka dalam demonstrasi jalanan era reformasi yang ternyata hanya indah khabar dari rupa.

Dari segi ekonomi pula nyata tiada perubahan yang berlaku walaupun tampuk pemerintahan berkali-kali bertukar tangan sejak era pasca reformasi. Indonesia terus kekal sebagai penyumbang terbesar dalam sektor pembantu rumah kepada negara-negara lain.

Satu-satunya kejayaan mereka disebalik gerakan jalanan reformasi 1998 ialah kebebasan yang lebih baik berbanding zaman Suharto namun natijahnya pula membawa keburukan dari segi hubungan sesama rakyat berbilang kaum dan agama.

Sudah 14 tahun era reformasi 1998 di Indonesia berlalu dan dalam jangka masa tersebut ratusan peristiwa berdarah terjadi yang memburukkan suasana hubungan kaum dan agama.

Reformasi 1998 terbukti gagal merubah nasib rakyat, realitinya hingga kini agak ramai rakyat Indonesia seakan merindui kembali ketegasan Suharto memimpin negara mereka.

Jika demikian hakikat selepas 14 tahun orde reformasi Indonesia gagal sama sekali dalam merubah nasib rakyatnya, mana mungkin untuk kita rakyat Malaysia menyambut baik gerakan reformasi yang sama acuannya. - bersambung...

Masyarakat Cina Tidak Percaya Kepada Anwar


Kaum Cina, dikatakan kaum yang praktikal dan bukan emosional dalam menentukan matlamat hidup mereka.

Praktikaliti bagi mereka, dinilai dari sudut keuntungan ekonomi dalam jangka masa panjang.  Mereka sabar, tekun dan kekal fokus untuk mencapai apa yang diidamkan.    

Dalam menentukan kerajaan yang memerintah juga, kaum Cina mengambil sikap yang sama dan bergerak sebagai satu kumpulan bagi memastikan keuntungan maksima kepada kaum mereka.

Barisan Nasional telah menjadi pilihan kaum Cina sejak sekian lama kerana mereka yakin bahawa parti ini mampu menyediakan persekitaran dan lanskap yang sesuai untuk mereka ‘berkembang’.   

Walaupun terdapat puak-puak ekstremis Cina yang cuba menafikan keupayaan BN serta menghasut kaum Cina agar berprasangka, malah membenci BN dengan membangkitkan soal Hak-hak Istimewa Bumiputera.

Tetapi tiada seorang pun manusia di dunia ini yang mampu menolak hakikat bahawa kaum Cina di Malaysia adalah antara yang paling makmur sekali di dunia di bawah pemerintahan BN.   

Sekolah-sekolah Cina, dahulunya dibuka sebagai persediaan untuk kaum Cina kembali ke tanahair mereka selepas puas mencari kekayaan di negara ini.  

Namun, majoriti  kaum Cina terus kekal di sini, menjadi warganegara yang setia kerana mereka tahu kerajaan Perikatan ketika itu, dan BN hari ini, akan tetap membela mereka.  

Namun begitu, sokongan kaum Cina terhadap BN hari ini dikatakan merosot secara drastik dan apa saja yang dilakukan oleh BN tidak akan mampu lagi untuk memulihkan keadaan ini.  

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna yang mereka menyokong Pakatan Rakyat.  Mungkin mereka tersasar sekejap pada tahun 2008 akibat terpedaya dengan janji-janji manis Anwar Ibrahim dan faktor-faktor lain, tetapi seperti yang dikatakan tadi, kaum Cina bukan bertindak berdasarkan emosi, tetapi praktikaliti.  

Akhir-akhir ini, Anwar mula dipandang serong oleh kaum Cina apabila beliau membangkitkan idea untuk menghapuskan PTPTN yang mana akan merugikan para pelajar, termasuk anak-anak bangsa Cina yang majoritinya memilih pusat pengajian tinggi swasta yang jauh lebih mahal harganya.  

Kemudian, Anwar sekali lagi menggusarkan kaum Cina apabila bertindak ‘mengambil alih’ perhimpunan BERSIH 3.0 dan menonjolkan warna sebenarnya sebagai seorang pemberontak yang ingin membuat huru-hara.   Sudah tentu kaum Cina tidak inginkan huru-hara kerana ia akan bermakna kerugian bagi perniagaan mereka.  

Maka, dua insiden ini menjadi titik penting untuk kaum Cina kembali mengimbas sejarah lama dalam menjustifikasi undi mereka dalam pilihanraya kali ini.   

Ternyata sejarah tidak pernah berbohong dan sejarah telah memaparkan siapa Anwar yang sebenarnya.  

Setelah membaca sejarah Anwar ramai anak-anak muda Cina kembali berpijak di bumi nyata dari terus bermimpi diperintah oleh Pakatan Rakyat yang kononnya bakal memberi mereka kesamarataan total bagi membolehkan mereka berkembang ke tahap maksima dan menelan kaum-kaum lain di Malaysia.  

Anwar Ibrahim adalah manusia dengan begitu banyak personaliti jika tidak, takkanlah beliau digelar ‘sesumpah’ oleh wartawan barat.  

Mengikut pendedahan buku The ‘I’ Files, pada satu masa, Anwar adalah seorang Muslim fanatik yang mengimpikan negara Islam ‘sempurna’ ala Iran, berkiblatkan Saudi, berfahaman Wahhabi dan tiada tolak ansur dalam menangani kemungkaran.  

Bagi Anwar, kaum Cina dan barat semuanya adalah ancaman kepada Islam.  Sehinggakan, kata penulis buku tersebut, Hasan Ali juga tidak dapat menyaingi ‘mimpi’ Anwar pada waktu itu!

Pendedahan ini boleh dibuktikan dengan sikap dan tindakan yang diambil oleh Anwar ketika menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986-1990.  

Beliau mula melantik Guru Besar yang tiada latarbelakang pendidikan Cina di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina.  

Anwar juga tidak pernah membela sekolah Cina malah beliaulah yang begitu giat membawa semangat nasionalis sepertimana Indonesia di mana identiti kaum-kaum lain dihapuskan sama sekali bagi membentuk sebuah bangsa yang bersatu padu.   

Hanya pada tahun 1996, kerajaan BN telah meminda Akta Pendidikan 1961 seksyen 21 (2) untuk menarik balik kuasa Menteri Pendidikan menukar kedudukan sekolah Cina kepada sekolah kebangsaan selepas bantahan DAP dan Dong Jiao Zong.  

Selain pendirian Anwar mengenai kedudukan kaum Cina di Malaysia yang sukar dijangka kerana asyik berubah-ubah mengikut keadaan politik semasa dan kepentingan peribadinya, Anwar juga dikhuatiri oleh kaum Cina sebagai tidak mempunyai kelayakan dan kebolehan untuk mentadbir ekonomi.  

Ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan, dan kebetulannya pada tahun-tahun akhir sebelum dipecat iaitu 1997/98, negara telah mengalami serangan ekonomi yang buruk.   Kebolehan Anwar sebagai Menteri Kewangan telah teruji dan ternyata Anwar gagal sama sekali.  

Dalam kebuntuan, Anwar telah mengambil keputusan yang mudah tetapi salah, iaitu menurut sahaja telunjuk IMF.

Kadar faedah pinjaman dinaikkan secara drastik menyebabkan perniagaan tidak mampu membayar pinjaman dan bank-bank pula terbeban dengan ‘Non-Performing-Loan’ (NPL).  

Akibatnya, ekonomi Malaysia hampir lumpuh sepenuhnya apabila perniagaan ditutup, bank-bank pula mengalami kerugian dan pengangguran meningkat sehingga menyekat kadar dayabeli rakyat.  

Malaysia bertuah kerana diselamatkan oleh kebijaksanaan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Y.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berani mengambil langkah tidak popular dan menelan segala kritikan demi menyelamatkan negara yang hampir bankrap.  

Tindakan ini menyebabkan BN berjaya memenangi PRU 1999 apabila kaum Cina menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada kepimpinan Barisan Nasional sekali gus menjauhkan mereka dari pembangkang pada ketika itu, Barisan Alternatif yang diterajui oleh Anwar Ibrahim.   

Justeru, kita percaya kaum Cina cukup bijak untuk belajar dari sejarah dan tidak mudah terpengaruh oleh emosi yang kurang tenteram akibat dihasut oleh puak ekstremis, chauvinis, rasis dan pentingkan diri sendiri.  

Selama ini, negara ini berdiri teguh atas kerjasama semua kaum.  Dan kerjasama ini menjadi teguh kerana wujudnya perlembagaan yang mengambil kira keadilan mengikut struktur ekonomi dan sosial kaum-kaum di Malaysia dan bukannya kesamarataan secara buta tuli.  

Formula di dalam perlembagaan inilah yang menjadi kunci keamanan, keteguhan dan kemakmuran negara ini.  Maka semua kaum wajar terus menjulang perlembagaan negara bagi memastikan apa yang dikecapi hari ini akan terus bercambah dan kukuh selama-lamanya.  

Di masa yanga sama, kita melihat apa yang dimomokkan oleh Anwar hanyalah ilusi, mimpi dan fantasi seorang manusia yang gila kuasa. 

Kemungkinan besar Anwar sendiri tidak tahu apa yang diperkatakan dan dijanjikannya kerana kemungkinan besar Anwar sendiri tidak kenal lagi siapa dirinya iaitu sama ada beliau seorang fanatik, ektremis, liberal ataupun plural.  

Oleh itu, jalan terbaik bagi rakyat ialah memilih kepimpinan BN yang ‘moderate’ dan kekal konsisten dengan prinsip dan pendirian ini.  

PAS Rela Khianati Melayu Dari Tinggalkan DAP


Sejak PAS dan DAP tidur sebantal dengan diwalikan oleh PKR, watak, sikap, prinsip dan dasar parti Islam itu semakin menyamai parti cauvinis Cina tersebut.

Sedang DAP bijak mengatur langkah dan strategi untuk menawan hati orang Melayu, PAS pula bertindak sebaliknya.

Umpamanya DAP menggula-gulakan orang Melayu kononnya parti itulah pejuang yang ikhlas terhadap agenda Melayu di Pulau Pinang.

DAP merasuah orang Melayu dengan memberi peruntukan lebih tinggi kepada majlis agama negeri dan projek-projek kecil sementara projek pembangunan yang besar dan bernilai tinggi pula isapu oleh pemimpin dan kroni DAP berbangsa Cina.

Melihat kepada betapa baiknya sikap DAP kepada orang Melayu di Pulau Pinang, PAS pun termakan dengan umpan tersebut dan terus memuji-muji dan menyanjung parti yang pernah dilabelnya sebagai kafir harbi dan pengkhianat Melayu.

Setelah menjadi tiga serangkai dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, semua yang pernah dilabelkan haram dan jijik oleh PAS kepada parti rasis Cina itu menjadi halal, bersih dan bebas dari dosa.

Malah PAS pula kini menjadi pembela terbesar DAP dan mempertahankan tindak tanduk serta dasar parti itu.

Tidak cukup dengan itu PAS sanggup menukar dasar dan perjuangannya menuntut sebuah negara Islam kepada yang satu konsep yang lebih lunak dan tidak merbahaya kepada DAP iaitu 'negara berkebajikan'.

Semua ini dilakukan untuk menjaga hati rakankongsi baru PAS dalam politik tetapi yang menyedihkan parti itu membelakangkan agenda Melayu yang kononnya selamanya ini dipertahankan.

Kenyataan biadap Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Nizar Jamaluddin berhubung isu pembelian plat WWW 1 oleh Sultan Johor menjadi bukti jelas.

Nizar dengan celupar mempertikaikan tindakan Tuanku dalam isu itu tanpa memperdulikan samada perbuatannya itu boleh mencemar dan memalukan institusi raja yang selama ini menjadi payung pelindung kepada bangsa Melayu sejak berzaman.

Apa yang disebut oleh Nizar dalam twitternya senada dengan sikap anti-Melayu dan raja yang ditunjukkan oleh DAP.

Lupakah orang Melayu Perak khususnya akan episod 'sembah derhaka' Nizar kepada Sultan Azlan Shah apabila enggan meletak jawatan apabila dititah berbuat demikian pada awal 2009?

Menurut sumber dalaman PAS Perak sendiri, keceluparan Nizar dan sikap anti-raja yang ditunjukkan beliau dalam isu kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan insiden terbaru membabitkan Sultan Johor adalah kerana beliau mempunyai pertalian darah dengan dua pemimpin DAP Perak iaitu Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming.

Ngeh dan Nga adalah sepupu sementara Nizar pula menjadi sepupu kepada kedua-duanya dari sebelah ibunya yang berbangsa Cina.

Jadi bak kata pepatah Melayu, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi; sikap menentang institusi raja yang dizahirkan oleh Nizar telah sediada mengalir dalam tubuh badannya secara semulajadi.

Maka tidak hairanlah setiap kali Nizar mengadakan sidang akhbar semasa menjawat Menteri Besar Perak dahulu, beliau akan diapit oleh Ngeh dan Nga.

Setiap kalimat dari mulu Nizar akan dikawal ketat oleh kedua-dua pemimpin DAP itu dan tidak boleh dilafazkan tanpa persetujuan mereka.

Malah amat jelas pada mana-mana sidang media, Nizar akan menoleh kepada Ngeh dan Nga terlebih dahulu sebelum menjawab soalan yang diajukan oleh wartawan terutamanya soalan yang berkaitan dengan dasar Melayu.

Pernah Nizar dilihat bertindak secara spontan seperti robot dengan menoleh kepada Ngeh dan Nga untuk mendapat ilham apakah jawapan paling selamat dan sesuai apabila ditanya mengenai isu pemberian tanah pajakan selama 999 tahun kepada penduduk Cina. 

Ini hanyalah sekelumit daripada rentetan insiden yang membabitkan pemimpin PAS dengan institusi raja.

Sejak bersekongkol dengan DAP, PAS tidak lagi menghormati raja-raja Melayu bahkan selalu menimbulkan kontroversi yang mencemar kemuliaan institusi itu.

Bagi PAS, ia lebih rela menggorbankan agenda Islam dan membelakangkan bangsa Melayu sekiranya ini dapat membantu parti itu membolot kuasa politik, daripada berpisah dengan kekasihnya DAP yang tidak seagama dan tidak juga sebangsa.

Lindungi Hak Rakyat Dari Kerakusan Pembangkang


KEPUTUSAN pilihan raya umum 2008 dikatakan mengubah landskap politik negara. Kejayaan agak besar yang dicapai oleh pakatan pembangkang telah memungkinkan arena politik berhadapan dengan satu situasi yang selama ini tidak pernah dialami.

Kehilangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen serta mengalami kekalahan mengejut di Kedah, Pulau Pinang, Perak (selama 11 bulan) dan Selangor telah memungkinkan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas merasakan mereka cukup kuat.

Justeru kerajaan BN terpaksa bergelut dalam pertembungan politik yang menyaksikan pembangkang bersedia melakukan apa sahaja bagi memastikan mereka mampu menumbangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam menghadapi keghairahan pembangkang, rakyat sewajarnya diperingatkan politik menghalalkan cara bukan budaya politik negara ini. Malahan jika ini dibenarkan ia boleh membawa bencana kepada masa depan negara.

Oleh itu kehadiran buku bertajuk 'Moderat - Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Menghalalkan Cara' tulisan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.Mashitah Ibrahim tepat pada masanya.

Moderat atau kesederhanaan sememangnya menjadi pegangan BN sejak merdeka lagi dalam memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan mainan politik melampau oleh mana-mana pihak.

Buku setebal 308 muka surat itu yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, hari ini mampu memberikan 'pedoman' dan pemahaman kepada rakyat untuk memahami betapa pentingnya mereka menolak corak politik yang diamalkan oleh pembangkang.

Dr.Mashitah mengupas soal moderat ini dengan terperinci dan ia bukan sahaja dilihat dari sudut politik semata-mata tetapi juga ajaran Islam.

Selain memuatkan ucapan Perdana Menteri mengenai moderat, ia turut mengandungi kupasan menarik mengenai amalan politik pembangkang.

Antara bahagian yang pasti akan mendapat perhatian adalah Bahagian 3 yang mengandungi enam tulisan Dr.Mashitah mengenai mainan politik pembangkang termasuklah merobek mitos buku jingga dan konsep Negara Berkebajikan yang diuar-uarkan oleh Pas.

Sememangnya, dalam BN berusaha bersungguh-sungguh untuk membela nasib semua kaum di negara ini, parti itu berhadapan dengan pakatan pembangkang yang begitu teruja untuk menawan Putrajaya.

Berikutan itu, pendekatan politik moderat atau sederhana yang selama ini menjadi tunjang utama kekuatan negara berada dalam kedudukan terancam. Apa yang mengecewakan, dalam keghairahan itu pembangkang bersedia melakukan apa sahaja termasuklah memainkan isu-isu yang boleh memecah-belahkan rakyat.

Mereka membuat janji yang bukan-bukan, soal sama ada janji itu mampu ditunaikan atau tidak, ia soal kedua, apa yang penting meraih dahulu sokongan rakyat. Dalam soal ini, sudah tentulah rakyat perlu diperingatkan supaya jangan terpedaya dengan politik pembangkang kerana ia akhirnya akan merugikan mereka. Apa yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah contohnya, sudah menjadi bukti bagaimana pembangkang gagal menunaikan janji biar pun sudah diberi kuasa.

Monday, June 25, 2012

10,000 Berhimpun Sokong Lynas


KUANTAN -  Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pahang Mendukung Agenda Untuk Nasional (Daun) berjaya menarik kira-kira 10,000 orang untuk berhimpun di Teluk Cempedak di sini semalam bagi menyokong usaha dan dasar kerajaan berhubung kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng di sini.
Penyelaras Daun, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, antara program yang dilaksanakan dalam perhimpunan itu yang berlangsung dari awal pagi hingga tengah malam tadi adalah menanam pokok yang diberi nama Lynas  sebagai gimik sokongan.
Aktiviti lain ialah senaman, persembahan kebudayaan, meditasi alam dan penerangan mengenai operasi kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd menerusi skrin besar, katanya kepada pemberita di sini.


"Tujuan utama penganjuran adalah untuk menyampaikan sokongan terhadap pembinaan kilang Lynas yang telah diperjelaskan oleh pakar-pakar berhubung tahap keselamatannya.


"Dan, majoriti yang hadir merupakan golongan muda dari serata pelosok tanpa dinaungi atau didalangi oleh mana-mana parti politik," katanya.
Katanya, Daun juga akan ke sekolah, kawasan rukun tetangga dan lain-lain tempat untuk memberi penerangan dan ceramah dan mengedarkan buku penerangan mengenai operasi kilang Lynas.- Bernama