CHANNEL UMB

Thursday, January 27, 2011

Calon BN Tetap Tenang, 'Gentleman' Hadapi Serangan Peribadi Pembangkang

LABIS, 26 Jan (Bernama) -- Biarpun menghadapi serangan demi serangan berbentuk peribadi daripada pembangkang, tetapi calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim tetap tenang dan enggan terjebak dengan permainan kotor itu.

Menurutnya, beliau dan BN tidak akan terikut-ikut dengan taktik pembangkang yang membuat serangan peribadi dengan menabur pelbagai fitnah dan tohmahan terhadapnya.

"Kita 'gentleman'. Kita teruskan kerja-kerja kita dan berkempen dengan sebaiknya, tanpa terikut-ikut dengan pembangkang yang membuat serangan peribadi," katanya pada sidang media di rumahnya di sini, Rabu.

Bekas penolong pentadbir tanah daerah Kecil Rengit, Batu Pahat itu berkata dalam pertemuannya dengan pengundi DUN Tenang, mereka tidak pernah menyentuh isu-isu peribadi yang digunakan oleh pembangkang itu.

"Pengundi tidak pernah sekali bertanyakan saya (isu serangan peribadi). Pengundi DUN Tenang tahu apa yang diperkatakan oleh pembangkang itu adalah tohmahan dan fitnah semata-mata," kata Mohd Azahar.

Pada kempen pilihan raya kecil ini, pembangkang memainkan isu tanah milik seseorang dilelong ketika Mohd Azahar menjadi Penolong Pentadbir Tanah Segamat (2000-2006) dan beberapa isu peribadi yang lain.

Ditanya mengenai isu tanah pada 2003 di mana pembangkang menuduhnya sebagai cuai sehingga menyebabkan tanah itu dilelong, katanya, sebagai penjawat awam beliau hanya mengikut prosedur.

"Saya telah mengikut segala prosedur jabatan (isu tanah 2003)," katanya ringkas.

Mengenai perancangannya jika dipilih sebagai wakil rakyat, Mohd Azahar berkata beliau akan memastikan pengundi pelbagai kaum DUN Tenang menikmati pembangunan yang lebih pesat.

"Saya akan bertemu kembali dengan pengundi, mengambil input tentang perkara-perkara yang mereka ingin laksanakan di DUN Tenang secepat mungkin," katanya.

Ditanya bagaimana beliau menangani keadaan selepas lima hari menjalankan kempen tanpa henti, Mohd Azahar berkata beliau hanya mampu tidur tidak lebih dari empat jam sehari.

Isteri calon BN itu, Tuty Roshizana Tumin yang turut berada pada sidang media itu turut ditanya mengenai serangan peribadi terhadap suaminya dan berkata ia tidak menjejaskan dirinya kerana beliau mengetahui perkara sebenar.

"Saya berada sepenuhnya di belakang suami saya. Saya tidak akan terjejas dengan apa juga serangan peribadi mereka, kerana apa yang diperkatakan mereka merupakan pembohongan semata-mata," katanya.

Mengenai persediaan bagi memastikan kesihatan suaminya sentiasa terjaga sepanjang tempoh berkempen, suri rumah itu berkata beliau menyediakan makanan berkhasiat serta makanan tambahan.

"Saya pastikan beliau hanya mengambil makanan yang berkhasiat, selain mengambil makanan tambahan bagi memastikan kesihatannya terjamin dan sentiasa bertenaga sepanjang tempoh berkempen ini," katanya.

Beliau berkata anak-anak mereka memahami bahawa Mohd Azahar mempunyai jadual yang sibuk sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini.

Pilihan raya kecil DUN Tenang itu akan diadakan pada 30 Jan ini berikutan kematian penyandangnya, allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Dis tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Mohd Azahar akan ditentang calon PAS Normala Sudirman pada pilihan raya kecil itu.

UMB Pahang: Buat Calon BN di Dun N. 05 Tenang teruskan perjuangan dalam meraih sokongan serta kepercayaan dari Pengundi Dun Tenang. Kami percaya pengundi-pengundi di Dun N.o5 Tenang pastinya bijak memilih bakal Wakil Rakyat yang boleh berkerja serta memahami denyut nadi masyarakat di Dun Tenang.



1 comment:

  1. nak serang calon peribadi pas cmna...sbb calon pas ni semuanya bersih..bkn sbb gentleman...kah10x

    ReplyDelete