CHANNEL UMB

Tuesday, June 26, 2012

Reformasi Yang Gagal - Bahagian 2


Umum menyedari, sejarah reformasi di Malaysia khususnya yang dipelopori oleh Anwar Ibrahim segalanya diceduk dan diciplak dari Indonesia.

Saat Indonesia dilanda permulaan kelam zaman reformasi pada bulan Mei 1998, sebulan kemudiannya yakni pada 18 Jun 1998 Anwar mula melaungkan teori reformasi dengan harapan tempias di Indonesia akan menyemai ke sanubari rakyat seterusnya membantu dirinya ke puncak kuasa.

Selepas kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri, bermula 2 September 1998 Anwar memanipulasi sepenuhnya semangat gerakan reformasi Indonesia yang akhirnya menyaksikan ibukota Kuala Lumpur hampir lumpuh dengan demonstrasi jalanan di merata tempat.

Gedung perniagaan dan premis kerajaan terpaksa di tutup, huru hara dan rusuhan bermaharalela di sekitar Kuala Lumpur. Tika itu sebahagian besar mahasiswa universiti yang terpengaruh dengan adu domba slogan anti KKN (korupsi, kronisme dan nepotisme) yang dilaungkan oleh Anwar beramai-ramai turun ke jalanan.

Manakala masyarakat Cina Malaysia telah mengambil langkah berhati-hati memandangkan sejarah hitam reformasi di Indonesia yang menyebabkan berlakunya peristiwa berdarah pembantaian kaum Cina Indonesia masih segar dalam ingatan.

Bagaimanapun setelah kalut ribut rusuhan di Kuala Lumpur seakan hampir mirip dengan apa yang berlaku di Indonesia, menyebabkan mereka secara total menolak perlakuan ganas yang diimport dari negara jiran tersebut.

Mereka sedar, jika sudah buruk permulaan sesuatu gerakan yang menyebabkan ramai nyawa tidak berdosa menjadi mangsa hingga ramai gadis dirogol dan dilapah kulitnya kerana prasangka kaum dan agama, tentu sahaja sukar sekali untuk mengambil teladannya untuk diimplementasikan dalam negara sendiri.

Malah kalut malut era reformasi Indonesia diikuti kejadian sama di Malaysia nyata hanya merosakkan suasana pemulihan ekonomi negara selain mengancam nyawa dan harta benda rakyat.

Majoriti rakyat Malaysia, baik Melayu, Cina, India dan lain-lain akhirnya sependapat perubahan ganas di negara jiran bukan jawapan terbaik apatah lagi ianya disemai oleh seorang politikus yang hanya mengutamakan kepentingan diri sehingga sanggup menggadaikan ketenteraman negara.

Justeru itu, budaya politik ciplak dan songsang yang dirintis oleh Anwar telah terbukti gagal dan tidak sesuai untuk diamalkan di negara kita yang tercinta ini. Tiada sebab untuk kita meneladaninya apatah lagi untuk dibudayakan di negara ini.

Reformasi jalanan bukan cara kita dalam membangunkan negara yang pelbagai kaum dan agama, hanya transformasi yang berhemah dan kepimpinan yang berdaya saing, jitu pemikiran dan cakna rakyat sahaja yang mampu membawa kita makmur dan maju ke depan.

No comments:

Post a Comment