CHANNEL UMB

Tuesday, June 26, 2012

Reformasi Yang Gagal - Bahagian 1


Kaji selidik rasmi yang dilakukan oleh Indo Barometer pada 25 April sehingga 4 Mei 2011 menemukan jawapan yang tentu sahaja sukar untuk diterima oleh para reformis Indonesia yang terlibat secara langsung dalam gerakan reformasi jalanan pada tahun 1998.

Mengikut kajian tersebut yang dijalankan di sejumlah 33 wilayah merumuskan Orde baru yakni polisi pemerintahan zaman bekas Presiden Suharto yang digulingkan ternyata jauh lebih baik berbanding Pasca Reformasi 1998.

Sejumlah 28.2 peratus responden dari seramai 1,200 orang yang ditemubual menyatakan pasca reformasi menyebabkan tahap kehidupan rakyat lebih buruk dan amat tidak memuaskan.

Manakala sejumlah 27.2 peratus lagi menyifatkan pasca reformasi 1998 lebihkurang sama sahaja seperti sebelumnya. Hanya 22.8 peratus sahaja bersetuju pasca reformasi adalah lebih baik berbanding Orde baru zaman Suharto.

Kenyataan hasil kajian tersebut ada benarnya kerana tiga tahun sebelumnya yakni pada tanggal 20 Mei 2008, ribuan mahasiswa dan rakyat Indonesia telah memprotes kegagalan pemerintahan pasca reformasi yang gagal membantu kehidupan rakyat.

Jika 10 tahun sebelum itu mereka berhimpun di jalanraya menuntut pengunduran Suharto sebagai Presiden, tanggal 20 Mei 2008 mereka seperti menyesali penyertaan rakan-rakan mereka dalam demonstrasi jalanan era reformasi yang ternyata hanya indah khabar dari rupa.

Dari segi ekonomi pula nyata tiada perubahan yang berlaku walaupun tampuk pemerintahan berkali-kali bertukar tangan sejak era pasca reformasi. Indonesia terus kekal sebagai penyumbang terbesar dalam sektor pembantu rumah kepada negara-negara lain.

Satu-satunya kejayaan mereka disebalik gerakan jalanan reformasi 1998 ialah kebebasan yang lebih baik berbanding zaman Suharto namun natijahnya pula membawa keburukan dari segi hubungan sesama rakyat berbilang kaum dan agama.

Sudah 14 tahun era reformasi 1998 di Indonesia berlalu dan dalam jangka masa tersebut ratusan peristiwa berdarah terjadi yang memburukkan suasana hubungan kaum dan agama.

Reformasi 1998 terbukti gagal merubah nasib rakyat, realitinya hingga kini agak ramai rakyat Indonesia seakan merindui kembali ketegasan Suharto memimpin negara mereka.

Jika demikian hakikat selepas 14 tahun orde reformasi Indonesia gagal sama sekali dalam merubah nasib rakyatnya, mana mungkin untuk kita rakyat Malaysia menyambut baik gerakan reformasi yang sama acuannya. - bersambung...

No comments:

Post a Comment