CHANNEL UMB

Thursday, March 15, 2012

Isu Hudud: PR Didesak Beri Peringatan 'KERAS' Buat Nik Aziz

PAKATAN RAKYAT akan mengadakan mesyuarat berkenaan Hudud pada hari Rabu ini berikutan isu hudud yang dibangkitkan semula oleh Mursyidul Am PAS, Dato’ Seri Nik Aziz dan disokong oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim tetapi ditentang keras oleh DAP.
Mungkinkah Nik Aziz dan juga Anwar Ibrahim terlupa bahawa mereka kini adalah pemimpin Pakatan Rakyat dan bukannya PAS atau PKR secara berasingan?  Sebagai pemimpin Pakatan Rakyat mereka harus bertindak dan bersuara senada dengan parti sekutu iaitu DAP terutamanya mengenai hala tuju dan prinsip.
Dalam memperkatakan tentang hala tuju dan prinsip parti, semua pemimpin PR wajib merujuk kepada Buku Jingga yang sangat kita banggakan kerana ia bukan sekadar memaparkan manifesto tetapi juga merupakan dokumen lengkap atau ‘kitab’ rujukan dan panduan yang dipersetujui oleh semua  parti dalam Pakatan Rakyat.
Manakala, Nik Aziz dan juga Anwar Ibrahim kedua-duanya adalah pemimpin penting yang terlibat secara langsung dengan penyediaan Buku Jingga tersebut.
Oleh itu, kita tertanya-tanya apakah mereka berdua kini terlupa bahawa perlaksanaan Hukum Hudud langsung tidak disebut di dalam Buku  Jingga?
Dan lupakah Nik Aziz bahawa di dalam Muktamar PAS yang baru lalu, beliaulah yang mengumumkan bahawa PAS kini tidak lagi memperjuangkan Negara Islam tetapi Negara Berkebajikan?
Bagaimanakah agaknya respon rakyat melihat PAS sanggup mengkhianati keputusan Muktamar PAS sendiri yang mana ianya telah dipersetujui oleh semua perwakilan-perwakilan dari peringkat bawahan?  Dan apakah agaknya pandangan rakyat terhadap PR yang kini dilihat cuba menukar atau membakul-sampahkan manifesto sendiri?
Belum pun menjadi kerajaan, PR sudah menunjuk sikap kurang yakin dan gemar menukar-nukar pendirian dan keputusan parti.
Akibatnya, penyokong PR kini terpinga-pinga akibat diheret ke sana sini, dibawa berpusing-pusing, sekejap ke hadapan, sekejap ke belakang dan menukar haluan ke kiri kanan malah U-turn berkali-kali sehingga mereka pening dan bosan.
Jika kita sering tertanya-tanya kenapa BN terus berkuasa, jawapannya ialah kerana BN sentiasa konsisten dengan perjuangan mereka.   Tidak sukar untuk memahami hala tuju BN kerana ia sentiasa pasti.  Walaupun terdapat perbalahan antara parti-parti komponen namun ianya tidak pernah melibatkan hala tuju mahupun prinsip dan dasar parti.   Kerana itu, rakyat terus-terusan memberi sokongan kepada BN walaupun menyedari akan kelemahan-kelemahan yang terdapat di dalam parti tersebut.
Manakala PR pula masih tidak mampu menjelmakan diri sebagai parti alternatif kepada BN.  Lebih teruk, PR semakin hari semakin ‘melonjak’ imejnya sebagai parti flip-flop.  Sehingga kini, walaupun setelah mendapat mandat di beberapa negeri, ketiga-tiga parti sekutu PR masih tercari-cari titik tengah persepakatan ini.
Dalam PAS dan PKR asyik tercari-cari ‘identiti diri’, hanya DAP yang kekal konsisten dalam perjuangan mereka.
Melihat dari segi ini, kita faham kenapa Lim Guan Eng bagaikan sudah hampir putus asa untuk terus bekerjasama dengan PAS.  Lim Guan Eng telah mengugut bahawa DAP akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya PAS meneruskan hasrat melaksanakan hudud.
Walaupun kita juga faham bahawa ugutan tersebut hanyalah berupa  ‘gertakan’ kerana tidak mungkin mana-mana pemimpin politik di Malaysia akan melepaskan jawatan kerana tidak setuju dengan orang lain, namun itu tidak bermakna kita harus mengambil mudah soal manifesto, hala tuju dan prinsip parti.
Untuk itu, kita harap Lim Guan Eng dapat memberi peringatan keras kepada Nik Aziz dan juga Anwar Ibrahim agar kembali kepada Buku Jingga demi keutuhan parti Pakatan Rakyat.
Ps: Sebab itulah PAS tidak menjadikan Hukum Hudud sebagai salah satu Manifesto Pilihan Raya mereka yang akan datang.

No comments:

Post a Comment